Malaysia's Best

Pengetahuan berkenaaan dengan mutu jaminan kualiti buah-buahan tempatan yang dijual  di dalam atau di luar negara masih kurang dan tidak dititikberatkan oleh masyarakat. 

Kebanyakan pengguna menggunakan cara tradisional untuk memilih buah-buahan. Pada pandangan mereka, kaedah menggoncang, memicit, menghidu atau merasa buah tersebut merupakan langkah yang  terbaik untuk mendapatkan buah yang terbaik dan berkualiti sebelum membeli. Tabiat ini didapati bukan sahaja tidak wajar malah memakan masa.

Kini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memperkenalkan jenama “Malaysia’s Best” untuk mengatasi masalah anda memilih buah-buahan berkualiti. Ia begitu mudah, cuma pilih buah-buahan yang menggunakan logo “Malaysia’s Best” ini.
  
Apakah itu "Malaysia's Best"? 
“Malaysia’s Best” merupakan program nasional yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya, FAMA bertujuan untuk memperkenalkan buah-buahan tempatan yang berkualiti.

Seperti gelarannya, “Malaysia’s Best” ialah buah-buahan tempatan yang diperaku telah melalui proses pemilihan yang teliti daripada peringkat pemilihan biji benih sehinggalah buah-buahan itu dipasarkan.

Segala-galanya menepati standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Hanya buah-buahan yang menepati standard ini yang layak menggunakan lambang “Malaysia’s Best”.
Kenapa "Malaysia's Best"?
“Malaysia’s Best” diwujudkan bagi melahirkan identiti Malaysia bagi semua hasil pertanian Malaysia khususnya di pasaran antarabangsa.


Selain itu, logo “Malaysia’s Best” juga digunakan sebagai tanda kelulusan daripada pihak berkuasa yang mengiktiraf iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.